Sunday, February 2, 2014

KISAH DI PAGI HARI

Pagi tadi bertemu  kawan sepejabat. Walaupun sepejabat, tapi jarang bertemu sebab beliau dari Unit yang lain. Bertemu pun secara kebetulan ketika beliau sedang menghisap rokok seorang diri di celah-celah kereta yang sedang parking di tepi bangunan. Dalam kesempatan yang ada dia aku sapa.

Pada mulanya, perbincangan lebih kepada bertanya khabar perkembangan semasa, kerja-kerja di pejabat dan sebagainya. Selain itu, cerita juga menyentuh kepada kerja-kerja sampingan yang kami lakukan.

Makin lama berborak, perbincangan menjadi bertambah serius. Akhirnya kenalan membuka cerita. Beliau ini sedang tertekan dan sukar untuk tidur malam. Semuanya gara-gara masalah yang membelenggu sejak akhir-akhir ini iaitu bebanan hutang keliling pinggan yang ditanggung.

Walaupun dia berjawatan pegawai, gaji negatif setiap bulan. Bila ditanya apa hutang yang ditanggung, beliau dengan wajah yang suram menyatakan hutang-hutangnya satu persatu. Hutang kereta, hutang rumah, kad kredit, pinjaman persendirian dan lain-lain. Aku tergamam sebentar. Mana tidaknya, hutang persendiriannya sahaja telah melebihi harga rumah ku sendiri.

Perniagaan sampingan yang dilakukan tidak dapat membantu untuk melegakan beliau. Pelbagai cara telah difikirkan oleh beliau dengan harapan ianya dapat membantu beliau untuk melepaskan diri dari bebanan hutang. Dari kerja sampingan hinggalah membuka perniagaan. Tapi langkah bagai terhenti bila memikirkan keluarga dan anak-anak. Kalau berjaya oklah, Jika gagal? bagaimana dengan mereka? Atas sebab tersebut, beliau masih belum berani untuk melangkah dan saya menjangkakan beliau akan terus berada dalam tekanan dilema hutangnya..

Bebanan hutang yang tidak terkawal akan diiringi 
kemuraman dan tekanan.

Saya sebagai seorang teman hanya mampu mendengar dan dalam masa yang sama mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku. Penghujung kepada kehidupan orang yang mempunyai beban hutang tidak terkwal selalunya tidak menyamankan. Hampir pasti akan ada peristiwa yang tidak menyenangkan akan menyusul.

Walaupun tidak adil, aku cuba membandingkannya hutangnya dengan hutangku. Aku juga mempunyai hutang tapi alhamdulillah masih dapat dikawal. Yang ada  hutang rumah (ada lagi 18 tahun) dan pinjaman pendidikan yang kurang 4k serta hutang isteri (terima kasih Pn Isteri kerana begitu memahami) Hutang kereta telah lama diselesaikan. Pun begitu masih terasa juga sesaknya. Nasib baik isteri bekerja dan banyak membantu.

Untuk sahabat, aku doakan kesejahteraannya disamping doa supaya perkara dan kebimbangan yang sama tidak menimpa kita semua...

Itulah sedikit kisah di pagi hari...


MULAKAN HARIMU DENGAN MENETAPKAN MATLAMAT

Assalamualaikum...

Hari yang baik hendaklah dimulakan dengan menetapkan matlamat. Perancangan dan matlamat yang ditetapkan akan banyak menentukan samaada seseorang itu berjaya atau gagal dalam kehidupannya.
Menetapkan matlamat boleh membantu kita dalam banyak aspek seperti meningkatkan semangat dan motivasi, menjadikan kita lebih fokus dan seterusnya meletakkan segala usaha di atas landasan yang betul dalam mencapai matlamat yang ingin dicapai. Penetapan matlamat juga boleh membantu kita untuk mengurangkan stress kerja dan seterusnya menjadikan hidup kita lebih bermakna dan gembira.

Apakah matlamat yang ingin anda capai 
10 tahun dari sekarang ?

Perancangan Matlamat boleh terdiri dari matlamat jangka panjang (tahun), matlamat jangka sederhana (bulan) dan matlamat jangka pendek (hari/jam)...

Perancangan matlamat yang ditetapkan hendaklah disertakan dengan usaha dan tindakan. Kalau tidak, 'Hangat2 tahi ayam' lah jawapnya...

Perancangan matlamat yang baik perlu mengikut prinsip yang dipanggil 'SMART'. Apa maksudnya tu?

S - Specific
     Matlamat hendaklah spesifik. Elakkan perancangan bersifat umum.
M - Measurable
     Matlamat hendaklah dalam bentuk figure atau boleh diukur.
A - Attainable
     Perancangan hendaklah realistik dan boleh dicapai. Berpijaklah dibumi yang nyata...
R - Relevant
     Perancangan hendaklah relevan dengan matlamat yang digariskan.
T - Time Bound
     Tetapkan tempoh masa yang sesuai untuk mencapai matlamat yang ingin ditetapkan.


Bagaimana hendak bermula ?

Pertama sekali, tentukan apakah matlamat yang hendak dicapai. Adakah ianya matlamat jangka panjang, jangka sederhana atau matlamat jangka pendek.

Seterusnya anda hendaklah menulis matlamat tersebut. Anda mungkin boleh menyediakan satu buku nota khas atau word spreed sheet. Tuliskan semua matlamat yang ingin anda capai. Cuba lakukannya dan selepas itu anda akan dapat rasakan bahawa bebanan fikiran akan berkurangan dengan drastik. Ini kerana semua perkara yang anda fikirkan telah dituliskan dan anda sudah tidak perlu memikirkannya setiap masa. Jika perlu tentu sekali anda boleh melihat semula dalam catatan yang telah anda lakukakan. Matlamat kini lebih jelas dan tidak lagi bersarang dalam fikiran anda. Jika anda mempraktikkannya sebelum tidur, pasti tidur anda lebih lena...

Selepas menulis semua matlamat yang ingin dicapai, kerahkan segala daya dan usaha anda untuk memenuhi matlamat yang telah ditulis hingga selesai. Pastikan anda fokus dan jangan membiarkan perkara-perkara luaran memesongkan perhatian anda. Buat bersungguh-sungguh sehingga selesai...

Kerjakan sungguh-sungguh sehingga selesai!..

Anda pasti sangat gembira bila anda memotong senarai matlamat yang telah tercapai dari senarai yang ada...
Cuba praktikkan hingga semua matlamat anda tercapai dan saya pasti ianya akan menjadikan hidup anda lebih teratur, gembira dan bermakna...