Sunday, February 2, 2014

KISAH DI PAGI HARI

Pagi tadi bertemu  kawan sepejabat. Walaupun sepejabat, tapi jarang bertemu sebab beliau dari Unit yang lain. Bertemu pun secara kebetulan ketika beliau sedang menghisap rokok seorang diri di celah-celah kereta yang sedang parking di tepi bangunan. Dalam kesempatan yang ada dia aku sapa.

Pada mulanya, perbincangan lebih kepada bertanya khabar perkembangan semasa, kerja-kerja di pejabat dan sebagainya. Selain itu, cerita juga menyentuh kepada kerja-kerja sampingan yang kami lakukan.

Makin lama berborak, perbincangan menjadi bertambah serius. Akhirnya kenalan membuka cerita. Beliau ini sedang tertekan dan sukar untuk tidur malam. Semuanya gara-gara masalah yang membelenggu sejak akhir-akhir ini iaitu bebanan hutang keliling pinggan yang ditanggung.

Walaupun dia berjawatan pegawai, gaji negatif setiap bulan. Bila ditanya apa hutang yang ditanggung, beliau dengan wajah yang suram menyatakan hutang-hutangnya satu persatu. Hutang kereta, hutang rumah, kad kredit, pinjaman persendirian dan lain-lain. Aku tergamam sebentar. Mana tidaknya, hutang persendiriannya sahaja telah melebihi harga rumah ku sendiri.

Perniagaan sampingan yang dilakukan tidak dapat membantu untuk melegakan beliau. Pelbagai cara telah difikirkan oleh beliau dengan harapan ianya dapat membantu beliau untuk melepaskan diri dari bebanan hutang. Dari kerja sampingan hinggalah membuka perniagaan. Tapi langkah bagai terhenti bila memikirkan keluarga dan anak-anak. Kalau berjaya oklah, Jika gagal? bagaimana dengan mereka? Atas sebab tersebut, beliau masih belum berani untuk melangkah dan saya menjangkakan beliau akan terus berada dalam tekanan dilema hutangnya..

Bebanan hutang yang tidak terkawal akan diiringi 
kemuraman dan tekanan.

Saya sebagai seorang teman hanya mampu mendengar dan dalam masa yang sama mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku. Penghujung kepada kehidupan orang yang mempunyai beban hutang tidak terkwal selalunya tidak menyamankan. Hampir pasti akan ada peristiwa yang tidak menyenangkan akan menyusul.

Walaupun tidak adil, aku cuba membandingkannya hutangnya dengan hutangku. Aku juga mempunyai hutang tapi alhamdulillah masih dapat dikawal. Yang ada  hutang rumah (ada lagi 18 tahun) dan pinjaman pendidikan yang kurang 4k serta hutang isteri (terima kasih Pn Isteri kerana begitu memahami) Hutang kereta telah lama diselesaikan. Pun begitu masih terasa juga sesaknya. Nasib baik isteri bekerja dan banyak membantu.

Untuk sahabat, aku doakan kesejahteraannya disamping doa supaya perkara dan kebimbangan yang sama tidak menimpa kita semua...

Itulah sedikit kisah di pagi hari...


No comments:

Post a Comment